Wednesday, July 25, 2012

Mineral

mandolin usang, masih tidur nyenyak di penjuru sana.
tinggallah aku dengan memoir-memoir lama, bercumbu manja,
perlahan-lahan meracun jasad yang sememangnya mudah pecah.
seperti malam-malam yang begini, ada sahaja untuk diluah,
tentang rasa yang melemas mati, tentang hati yang diludah berkali-kali.
nyawa-nyawa ikan lagi, depresi yang tak berperikemanusian.
mencari-cari antidote, manalah tahu, masih ada saki baki,
dari karam-karam yang lepas. selalunya mengalah, penat bertolak ansur,
kerana ekstasi lebih ramah menonjol diri, kuda jinak yang memangnya murah.
dari sfera, hingga tak bersudut, dari berat, hingga tak berjisim.
berdimensi hilang pendiriannya.
kesannya nakal tetap dengki, ia masih mogok di situ.
berdegil dan berkeras diri, isunya masih rancak mengguruh.
rencahnya mudah, cinta dan binatang dari neraka, mereka dan sumbang sumbingnya.
renjatan demi renjatan, aku konduktor paling malang.
ditikam sedikit sini dan sana, dipanah ramai lukanya kabur, rasanya nyata.
memang pahit seperti semua pernah kata.
helaian demi helaian, diselak dan dibaca, diperhati dengan diskrit.
mencari tulen, atau mungkin yang mirip neutral.
akal menyelinap masuk, dengan marah menghalau pergi, daki benci baki dendam.

"selamat malam halilintar."
seperti mana yang dia selalu akan bisikkan.
lekaslah padam, esok esok sambung lagi.


No comments: