Saturday, November 24, 2012

Kebarangkalian.

Dalam seribu perkara yang aku tahu tentang dunia, kebarangkalian adalah kewujudan yang paling sukar di mana ia adalah produk lacuran sains dan matematik yang paling tak akan terjangka. Jadi hentilah bertanya tentang tarikh luputnya kita dan halanya, kerana seperti manusia biasa-biasa lain, jawapannya tak akan pernah ada untuk aku pancarkan. Yang tinggal, hanyalah kepercayaan yang ianya diperjudikan atas ehwal pelaburan jika engkau paham apa yang aku katakan. Usah dibincang dengan teliti tentang rasa hati yang memati, rasa benci yang meninggi, kerana ianya milik kongsi dan salah betulnya jatuh untuk berdua. Jadi diam dan sila terima. Catit dan hafalkannya. Atau lebih mudah, mengalah dan menyerah. Litar ini tak akan pernah berintangan ada atau tanpa kita, jika engkau paham soal menerima kurang dan lebihnya.

Nanti.

Luar dari paksi normal, ralatnya meninggi mencium angkasa.
Toleransi di aras paling minimum, itu ketikanya salah paham yang paling menyesatkan.
Tangan yang dipanah untuk meniup cinta telah ditepis secara terang-terangan, bukti yang pujuknya gagal dan radangnya semakin disuntik syaitan, memualkan.
Berkejarlah mata dan mata, sebelum dilontar sekapal kata-kata mirip bintang-bintang pinjaman,
tetap enggan, berlagak tuhan, transmisinya mustahil untuk bermula.

Dada hauskan oksigen, kekurangan, gara-gara letihnya nyawa untuk berjalan.
Lalu dinyala candu-candu yang telah lama bersembunyi diam dalam poket, sekarang,
rasanya lebih ringan untuk berbicara tentang rasa dan sengsara, luka baru dan lama-lama.
Tersenyum tidak sengaja, selepas melihat titis-titis air mata yang bernada hiba dan hanyirnya pekat.
Seperti hari biasa-biasa yang telah berdekad hayatnya, air mata itu hanya ludahan yang lendirnya kotor, tiada isi tiada rasa dan tiada makna, ya, itu jujurnya kan?
Menangis seperti kehilangan raja dan negara, kononnya pembangkang menyuntik derhaka, walhal harta dan mahkotanya sudah dahulunya disembunyikan di tempat hanya engkau yang tahu.
Soalnya sekarang, engkau sudah kehilangan rasa.
Tawar seperti tiada apa-apa.

Dan seribu perjanjian yang telah kita lafazkan seribu dekad dahulu, telah aku dan engkau lupakan.
Jadi yang tinggal sekarang, hanya sisa cita-cita yang tak akan pernah relevan.
Tujuh puluh tahun kelak, kita akan gagal dan bermula semula hidup tanpa roh.
Dan mungkin di situ hanya kita akan belajar, tentang pentingnya menghargai.