Saturday, January 17, 2015

Tujuh

Cuma hanya dia,
Yang gigih penat,
Tahan dan sentiasa,
Sekarang hingga hadapan. 

Cuma perlu dia,
Untuk rebahkan segala,
Terang atau padamnya,
Rasa juga terasa. 

Cuma dia, 
Hanya naluri,
Tidak percuma,
Entah mungkin, selamanya.

Enam

Aku mungkin binatang,
Yang diberi akal,
Untuk merasa,
Tentang ludah dan kencing dunia.
Tentang kompleksnya dan rigitnya fakta terprogram. 
Undang-undang demokrasi yang dimonopoli, digoncang racis dan alkohol cap kroni,
Dibenci dan perlu dibasmi.
Seolah dirantai bertuan hilang kemerdekaan yang telah berjuta nyawa ditumpahkan. 
Dan sementara bendahara sedang lena tidurnya bersama gundik kelas atasan berbibir munggil,
Kita dikerah mengonggong tulang senjatanya,
Demi raja yang tiada siapa rakyatnya. 
Keji yang tiada batasan, kapitalis bangsat tak punya perasaan. 

Engkau, tuhan berkepala syaitan. 

Lima

Perpuluhan adalah ralat tandanya bukan penuh seluruhnya,
Sedikit tolak, sepertiga atau separuh, masih bukan semuanya.
Ragu-ragu gementar, belahan dedua, titik yang samar-samar duduknya. 

Diam dan cerna. 

Sekarang, aku, ingat ya,
Untuk engkau, rasa, 
Genap dan ganjil, juga perdana. 

Setiapnya genap berperisa,
Ganjil absurd ada di mana-mana. 
Dan perdana, yang ter-paling,
Cinta.

Empat

Statistik dan kebarangkalian,
Adalah perkara yang membingungkan dalam perhubungan,
Kerana setiap akal dan keputusan,
Muktamadnya dari penilaian, tanpa rujukan atau semakan,
Membezakan sama ada,
aku atau dia. 
Sama ada, dia atau dia.
Atau aku dan mereka.
Kompleksiti yang bergantung kepada reliabiliti,
Kata, tindak tanduk, atau niat.

Masih tiada rumus untuk dihunus,
Tentang tumbuh mati akar yang terbenam. 

Tiga

Ruang ini selayaknya tiada siapa yang mampu tembus,
Kerana disini hanya ada aku,
Dan ratusan juta memo yang terlalu peribadi,
Tentang diri, manusia dan nilai satu nyawa. 

Mahupun rasa atau pandangan,
Baik yang lurus atau kecilan bengkok,
Dan hasil-hasil cerna yang mungkin separuh daripadanya separa belum dihadam,
Semua tentang aku boleh kau hirup disini. 

Dan bila kau hembus dan lepas,
Apa kau rasa nikotin cinta? Atau hanya tar yang membusuk penuh dendam dan marah?
Aku adalah aku, dan kamu pemutusnya. 

Apa perlu kau simpan,
Atau buang segala ke atlanta,
Dan mula ceroboh sangkar yang baru. 

Aku pilih untuk kekal dan terima.
Kerana pahit itu hanya setitik nisbahnya.
Dan ya, terpulang.

Dua

Suhu tak lagi selesa,
Sejuk membeku segala rasa,
Masa seakan berhenti,
Membenci secara terperinci.

Pesta terusan membisu,
Sendiri dan lagi sendiri,
Hilang konsentrasi,
Monolog penuh bermacam emosi.

Bingung dengan pergerakan,
Bersegi yang mengelirukan,
Terliur dengan khayalan,
Segala idaman dipaksa berjauhan. 

Berlari dalam bulatan,
Aku, sesat dalam pemikiran,
Mencari pencuri,
Yang memikat hati. 

Satu

Kau adalah candu,
Perisa karamel berkrim vanila,
Asap dan khayalku,
Setiapnya, kamu.

Mata terpejam putih,
Vakum dan lutsinar, 
Lintasan demi lintasan,
Setiapnya, mirip kamu.

Bunyi bunyian,
Membunuh pendengaran,
Mengkaburkan penjelasan,
Setiapnya, mungkin kamu.

Padam, gelita.
Sesat, buntu.
Hanyut, melayang.
Hilang, kamu.