Tuesday, April 24, 2012

Hadam

Manusia ialah haiwan kelas atasan, yang gemar menolak tuhan dan tetapan.

Sembilan Puluh Satu

Suara hati harus dicatit dan disimpan peribadi, untuk rujukan di masa kecemasan.
Esok lusa kan akan tiba masa engkau dan aku akan melumpuh,
terbaring jauh di sekitar sana, atau mungkin tersepit dengan monolog gangsa
yang mula menghitam.
Dibukukan dengan kemas, biar tersusun dengan tarikhnya,
biar apa yang aku engkau rasa kekal di situ selamanya.
Mamalia manusia kan memang selalu mudah terlupa, kerana angkuhnya dengan mahkota.

Sembilan Puluh

Dunia ini luasnya bingung,
isinya padat dengan ketidakpastian.
Sekotak rasa untuk dihirup,
sehelai jiwa untuk dideklamasikan.
Manipulasikan aturannya,
catur-catur tetap akan berjalan sendiri.
Didendangkan kita dengan syair berontak dari lorong kemarahan,
terpijak dalam, terseungkur ke hadapan.
Digulung sesal-sesal saki baki lampau, parut-parut tak tersembuh,
luka-luka yang terusan mengoyak.
Bersyukur dengan apa yang tersedia, mereka kata.
Ungkapan yang bergerak balas dalam caranya yang sendiri.
Aliran ini arusnya menyonsang, meniup ke ke selatan,
sedikit hampir dengan bibir yang menunggu kesat.
Hujan terusan membasah, mencemar senyuman yang menumbuh,
Esok atau lusa, aku hajatkan syurga.

Saturday, April 21, 2012

Mekanikaliar

Berbaring di atas longgokan persoalan,
yang sehingga kini tak lagi tertuai.
Syurga atau neraka, dua-duanya perlu komitmen yang besar.
Runsing, lebih elok terus mabuk.