Friday, December 14, 2012

Perisa.

Cumbunya manja, matanya gembira,
Peluknya erat, genggamnya ketat,
Bisiknya lembut, belainya khayal,
dan atas seribu sebab lagi yang aku akan rahsiakan, aku putuskan pilihan,
yang kamu, bintangku.

Apa yang tinggal, hanya angkasa,
dan aku akan ada, semuanya.

"Selamat malam nyawa dan rasa, semoga tidur yang paling lena."

Dilari

Longgokan buku yang masih belum dibaca, mesejnya ada, cuma perlu digodam sehingga keluar,
kerana moralnya terlalu mahal untuk dilacurkan sia-sia. Diselak-selak, nampaknya ghairah, untuk jiwa yang sentiasa kehilangan dilarikan. Sedang, mencari idea yang nalurinya kompleks untuk dibogelkan, ruang ini semakin sempit. Hilang secara tiba-tiba, diculik dan  dibawa pergi, pulangnya? entah bila. Mungkin ini komplikasi tahap atasan, di mana semuanya nampak rumit, dan meluah itu dilarang, jadi kita pilih untuk mendiam dan berhenti berprogres, walupun itu mungkin yang terbaik daripada kita, hilang hala dan mengalah di titik-titik mula. Lemparkan senyum di kaki-kaki lima habitat manusia yang terasing, tumpahkan nangis di awan-awan gula yang masih tercatat, bila cukup masa, larikan sejauh angkasa, pitamlah di mana-mana, soalnya kita semua masih sama, tetap hilang tempat bermula, keliru tentang plot dan tamatnya. Jadi aku rangkakan peta jiwa, yang lengkap dengan catatan rasa, serta jalan-jalan yang tujunya buta. Ganjil tetap ganjil, keluarnya tetap unik dan luar pertimbangan, manusia yang gagal. Tak mengapa, akan terus aku catatkan setiap luar nikah yang termuntah. Untuk dikaji geraknya tuhan, memang mustahil walaupun dengan segumpal ekstasi yang akan dibenihkan, putusnya di situ sahaja, rahsia. Sains dan tuhan, cukup cantik tanpa cela. Pilih sahaja untuk teruskan, dan rasa apa yang dibenarkan rasa. Diam dan kekalkan nadinya, di atas nyawa yang sedang dipinjamkan mereka dan mereka.

Satu, dua, tiga.

Satu.
Terjaga dan menyamar,
Segar dan segera,
Menuju masa hadapan.

Dua.
Gemuruh dan hilang tumpuan,
Ditembak dan dipanah liar,
Barah, menyeksa.

Tiga.
Gelap, buta dan hilang pegangan,
Meruntuh dan berontak,
Tak apa, cuba lagi, pujuk hati.

Satu, dua, tiga.
Hidup, menunggu mati.

Saturday, November 24, 2012

Kebarangkalian.

Dalam seribu perkara yang aku tahu tentang dunia, kebarangkalian adalah kewujudan yang paling sukar di mana ia adalah produk lacuran sains dan matematik yang paling tak akan terjangka. Jadi hentilah bertanya tentang tarikh luputnya kita dan halanya, kerana seperti manusia biasa-biasa lain, jawapannya tak akan pernah ada untuk aku pancarkan. Yang tinggal, hanyalah kepercayaan yang ianya diperjudikan atas ehwal pelaburan jika engkau paham apa yang aku katakan. Usah dibincang dengan teliti tentang rasa hati yang memati, rasa benci yang meninggi, kerana ianya milik kongsi dan salah betulnya jatuh untuk berdua. Jadi diam dan sila terima. Catit dan hafalkannya. Atau lebih mudah, mengalah dan menyerah. Litar ini tak akan pernah berintangan ada atau tanpa kita, jika engkau paham soal menerima kurang dan lebihnya.

Nanti.

Luar dari paksi normal, ralatnya meninggi mencium angkasa.
Toleransi di aras paling minimum, itu ketikanya salah paham yang paling menyesatkan.
Tangan yang dipanah untuk meniup cinta telah ditepis secara terang-terangan, bukti yang pujuknya gagal dan radangnya semakin disuntik syaitan, memualkan.
Berkejarlah mata dan mata, sebelum dilontar sekapal kata-kata mirip bintang-bintang pinjaman,
tetap enggan, berlagak tuhan, transmisinya mustahil untuk bermula.

Dada hauskan oksigen, kekurangan, gara-gara letihnya nyawa untuk berjalan.
Lalu dinyala candu-candu yang telah lama bersembunyi diam dalam poket, sekarang,
rasanya lebih ringan untuk berbicara tentang rasa dan sengsara, luka baru dan lama-lama.
Tersenyum tidak sengaja, selepas melihat titis-titis air mata yang bernada hiba dan hanyirnya pekat.
Seperti hari biasa-biasa yang telah berdekad hayatnya, air mata itu hanya ludahan yang lendirnya kotor, tiada isi tiada rasa dan tiada makna, ya, itu jujurnya kan?
Menangis seperti kehilangan raja dan negara, kononnya pembangkang menyuntik derhaka, walhal harta dan mahkotanya sudah dahulunya disembunyikan di tempat hanya engkau yang tahu.
Soalnya sekarang, engkau sudah kehilangan rasa.
Tawar seperti tiada apa-apa.

Dan seribu perjanjian yang telah kita lafazkan seribu dekad dahulu, telah aku dan engkau lupakan.
Jadi yang tinggal sekarang, hanya sisa cita-cita yang tak akan pernah relevan.
Tujuh puluh tahun kelak, kita akan gagal dan bermula semula hidup tanpa roh.
Dan mungkin di situ hanya kita akan belajar, tentang pentingnya menghargai.

Saturday, September 1, 2012

Dan tarikh itu tetap

Jejak-jejak yang terus berhayun
Kincir yang kelak akan terhenti
Peduli yang tak seiringan
Lorong-lorong yang kadang kala sesak kadang kala kosong
Kolonial yang terheret, bergesel lalu luka.
Goyah tidak akan menziarah hari-hari yang mendatang dan itu pasti
Cuma mentol yang filamennya mudah terbakar, perlu ditukar
Rindu pada merah, rindu pada bendera
Berbulan yang dalam, berbulan yang segalanya.
Suluhan lampu pentas tepat ke anak mata, jadi teruja
Lumpuh tanpa gas, lumpuh tanpa perasaan
Keesokan yang perit, kilometer yang menjerit
Menjalar-jalar seluruh bekas, lalu aku akan tewas
Terkenang talian-talian yang erat, berpaut
Cahaya-cahaya yang tertarik memanjang, suara tiga peringkat terigau-igau
Ada sesuatu di mata, segmen ini tergendala

Langit, Bulan dan Bumi

Langit yang meradang kesedihan
Turunlah hujan menghempas kuyup bumi dan penghuni
Dan langit menjerit-jerit lalu terbitlah guruh
Atas sebab derita yang ditanggung diri
Yang semakin menebal demi hari..

Bulan juga setengah mati
Sebentar bernyala sebentar malap
dan adakalanya tidak kelihatan
tanpa sebarang cahaya..

Ditetapkan Dia yang segalanya
Haruslah sebiji bulan dengan orbitnya
Begitulah jua langit dengan had tingginya
Dan ianya mandatori
Ianya sumpah yang tak boleh dibocori; dikotori

Hari pertama sehinggalah kini
Tempohnya tidak terkata jumlahnya
Langit, bulan dan bumi sentiasa bersama
Di mana langit dan bulan sentiasa berdepan
Dan bumi memerhati dari arah bawah.

Takdir berjalan di mana timbul perasaan
Antara langit dan bulan
Diyakini segumpal rasa cinta yang mahal
Bulan tampan dan langit menawan.
Dua yang tanpa cacat cela.

Malangnya jurang,
had dan batasan,
ketidakmampuan mengengkar arahan,
melarangkan mereka merasakan..
sentuhan dan belaian,
atau bisikan cinta telinga ke telinga,
dan apa yang termampu hanyalah memandang..
sepertilah juga bumi memandang mereka..

Tidak hairanlah bumi yang melihat, begitu faham mengapa
langit teriak-teriak kesedihan
dan
bulan kelihatan menghampiri kematian..

Saturday, August 18, 2012

Selalu.

dendangkan aku sebuah lagu lama,
untuk aku yang kelesuan.
biar aku lupa kehendak dunia.

Tuesday, August 14, 2012

Dadu

Cakerawala, politiknya sukar.
Sayapnya ada tiga, cuma terseliuh manja.
Dirantai bola besi, manusia aneh bermuka dua.
Radiusnya pekak kurang upaya,
mabuk hari-hari, terlantar di atas dewi yang lagaknya tuhan.
Didendangkan puisi tentang kebenaran, telinganya meleper kononnya tak bertuan.
Sebentar waras sebentar tidak, tersesat di pekan-pekan murahan.
Perpaduan menyorok di belakang mereka, tak muncul diri,
gara gara diacukan senjata automatik bukan buatan kita.
Diugut dia dan keluarga, dipadam haknya bersuara,
diformat akal dan nyawanya,
jelas jelas dia tak ada pilihan.
Jilat dan menjilat, suka sama suka, mereput satu per satu.
Malaikat kiri penat mencatit, malaikat kananmual menunggu.
Fotosintesis mereka akan terhenti, sebentar sahaja lagi.
Jadi kita akan terus menunggu, sehingga masanya akan tiba,
masa untuk bumi runtuh, masa untuk lahir semula.

Friday, August 10, 2012

Nota Layang

Cinta adalah penyakit yang tiada penyembuh, untuk aku, kamu dan seluruh manusia.

Tuesday, August 7, 2012

Nota untuk buku merah.

bersenjatakan gincu-gincu murah yang terang,
engkau tumpahkan puisi-puisi cinta nebula,
mediumnya, cermin-cermin rumah yang telah menempel lama.
nota untuk jiwa, takut-takut lupa,
katanya manja. senyumnya cantik kelas atasan.

apabila dia, dilarikan mesin terbang ke antipode.
selalunya akan terhinggap, pesanan ringkas yang mesejnya jelas,
rindu berskala besar, rasa sayang yang berinti manis,
berkali-kali tak henti-henti. penting untuk aku tahu terasnya.
luah dia.

bila-bila dia terluka, gara-gara dentum petir yang hiba,
suaranya terus menuju ke aku, berbisik lemah, mengharap nyawa.
merayu perlahan, supaya dipulih rohnya ke fasa asalan,
dia memang selalu begitu, tak mahu berjarak dalam apapun.

aku duduk dan tersenyum,
khayal dengan candunya. mabuk dengan dua sayapnya,
lalai dengan bahagianya.




Wednesday, July 25, 2012

Mineral

mandolin usang, masih tidur nyenyak di penjuru sana.
tinggallah aku dengan memoir-memoir lama, bercumbu manja,
perlahan-lahan meracun jasad yang sememangnya mudah pecah.
seperti malam-malam yang begini, ada sahaja untuk diluah,
tentang rasa yang melemas mati, tentang hati yang diludah berkali-kali.
nyawa-nyawa ikan lagi, depresi yang tak berperikemanusian.
mencari-cari antidote, manalah tahu, masih ada saki baki,
dari karam-karam yang lepas. selalunya mengalah, penat bertolak ansur,
kerana ekstasi lebih ramah menonjol diri, kuda jinak yang memangnya murah.
dari sfera, hingga tak bersudut, dari berat, hingga tak berjisim.
berdimensi hilang pendiriannya.
kesannya nakal tetap dengki, ia masih mogok di situ.
berdegil dan berkeras diri, isunya masih rancak mengguruh.
rencahnya mudah, cinta dan binatang dari neraka, mereka dan sumbang sumbingnya.
renjatan demi renjatan, aku konduktor paling malang.
ditikam sedikit sini dan sana, dipanah ramai lukanya kabur, rasanya nyata.
memang pahit seperti semua pernah kata.
helaian demi helaian, diselak dan dibaca, diperhati dengan diskrit.
mencari tulen, atau mungkin yang mirip neutral.
akal menyelinap masuk, dengan marah menghalau pergi, daki benci baki dendam.

"selamat malam halilintar."
seperti mana yang dia selalu akan bisikkan.
lekaslah padam, esok esok sambung lagi.


Tuesday, July 24, 2012

Semoga cepat sembuh angkasa

awan meradang, menumpahkan kilat-kilat silau,
dan titis-titis hiba untuk santapan manusia keramaian,
satu bintang, dua bulan, dan tiga matahari.
bersiul tentang payah yang digendong,
meminta-minta kasihan di mana tak ada siapa pun endahkan.
dukanya, tangisnya dan rayunya untuk angkasa.
kalaulah boleh, digadai jasadnya, atau pindahkan ke dalam dia,
sudah tentu, sudah lama dia serahkan,
segala mampu yang dia pernah ada.
malangnya bumi ini ada tujuh puluh juta teori yang kita bertuhankan.
yang absurd, tetap absurd untuk dijanakan.
lalu timbunan doa dia lontarkan, ke langit di ketika semua warna,
pada setiapnya ruang yang dia jumpa, pada setiap manusia yang dia kenal.

selalu dia bisikkan, yang harapan itu sentiasa akan ada.
bila engkau percaya titik demi titik, koma demi koma,
hanyalah perintang sementara, yang hanya 'berjenaka',
kan jelas kitarannya, untuk aku engkau dan kita.

semoga cepat sembuh angkasa,
hentikan tangis dia seperti biasa engkau lakukan dengan senyuman engkau yang paling ringkas,
bangunlah. bukalah matamu, capailah, genggamlah tangan dia,
gerakkan bibirmu, perihalkan dia,
tentang engkau yang hanya terluka kecil dan akan terus bernyawa.
moga-moga.

Friday, June 15, 2012

Markisa

Aku sedang menulis dengan emosi separuh masak, ragu-ragu dan rumit. Monolognya ada sembilan, karutnya entah berapa, buat rohnya tunggal keliru. Ditenung langit dengan pewarna, atasnya ada bintang bersalut mentega, bulan yang entah digigit siapa, malam ini transmisinya ganjil. Perhatian dicuri dan dibaling-baling pergi, sekejap dia sekejap lagi dia yang satu lagi, lalu aku kejar untuk dapatkan kembali. Aku seperti kanak-kanak yang dibuli. Litar ini, rintangannya seni. Terlalu lancar gagal untuk cuba berhenti. Tangan dihentak, menekan-nekan deretan huruf yang yatim. Siapa-siapa, boleh tolong matikan suisnya. Jenerator juga perlukan rehatnya, tak cukup angkuh untuk terima, yang manusia cume berjasad plastik kitar semula. Barisan limitasinya terlalu panjang ke belakang, cuma aku dan engkau yang terlalu angkuh untuk mengaku, begitulah binatang jika dikurniakan ego. Pejam celik pejam celik, puluhan tahun sudah berjalan, tetapi tak ada satupun yang kita mampu selesaikan. Sama ada ketuhanan, kemanusiaan, atau hukum-hukum fizik yang bertimbun di perpustakaan, semua kita, hanya cukup-cukup makan. Imaginasi yang dulunya berlegar ramai, kini melenyap satu per satu, dua, tiga dan semuanya. Cita-cita yang tertinggal, sepertinya mainan di usia kita muda, yang dulu kita peluk ke mana sahaja. Merapuh, lalu terbuang seperti tak ada jasa. Bumi ini, habitat mereka yang yang tercemar, walaupun bukan semua, itu semestinya, cuba kita bilang sama-sama dan kita koordinasikan dua negara untuk mereka. Ya, begitu. Lihat? Ramai bukan bilangannya, ramai kan rakyatnya, tercemar. Seperti darwin dan kata-katanya, samalah pemimpin dan manifestonya. Politik dunia, rancak berkata-kata, aku lebih gemar judulnya jika tentang manusia yang lahirnya berjiwa, bukan robot yang terjana wang dan kuasa. Gubalkan masa hadapan yang bersaiz besar, kerana nyawa tak lama mana. Tak lama mana untuk kita taburkan merata-rata. Awan gelap semakin menghampir, dalamnya ada mani segala hiba. Ditepis sana sini, obsesinya masih sama, dosa dan dosa. Menabung untuk diseksa. Dimuntah syurga, diperkosa neraka. Diam. Masa mencemburui kita, bila ditunggu, makin perlahan geraknya. Cahaya dalam perjalanan, untuk selamatkan jiwa dari disedut lubang hitam, kecemasan kecemasan, aku gentar untuk sesat, walaupun hanya untuk milisaat lagi. Lekaslah laju lagi, cepat sampai dan jangan pulang. Jiwa perlu baja, untuk berdegup seribu tahun lagi. Akal kemudia dibawa pergi, destinasinya masih kabur tak ada diskripsi. Diformat berkali-kali, tah mahu berhenti. Berbulan madu di pluto, kan seronok tak ada siapa yang mengganggu. Sebernarnya aku tagihkan fasa yang begini. Lagi dan lagi, jawapannya menyorok terlalu sukar, dikorek dipujuk tetap berdegil untuk tonjolkan diri. Wadkan dia bersebelahan aku, biar dirawat bersama-sama, di bawah graviti rata dan saksama. Biar aku ada peluang berbicara. Tak apa aku akan terus cuba.

Sunday, May 13, 2012

Lampu Merah Yang Radangnya Menerang

Demi angka,
mereka berpusu-pusu ke sana.
Untuk agihkan dosanya,
dengan peratusan sama rata.
Hadiah dari barat,
untuk perdagangan pencemaran secara percuma dan sempurna.
Dihalalkan mereka radiasi berbahaya,
menyuburkan benih barah yang akan merantai nyawa.
Ideologinya sudah berpincang seratus kiblat.
Akalnya karat menebal,
yang terjaga, semuanya teriak derita.
Bijaksana yang tersonsang,
diheret modenisasi berharga rendah.
Suap sikit, meludah itu boleh.
Suap sedikit lagi, dinobatkan pula tuhan dengan tempoh masa.
Jadilah kami bangsanya rakyat, hamba yang bertuan dua.
Pastinya murka yang berpanjangan.
Tiga per tiga,
subahat dan sindiketnya,
adalah radikal lacuran semata-mata.

Monday, May 7, 2012

Inti.

Dan setiap nyawa yang terturun,
sama ada dari atas atau terasnya,
disuntikkan benih jiwa.
Disenyawakan oleh dunia,
jinaknya atau liarnya semuanya bergantung.

Angkasawan

Angkasawan, padam, dan terhempas.
Gara-gara terpikat dengan bulan,
hilang akal dan lalai,
terlupa tentang buminya.

Pitam.

Selari.

Jiwa ini menumbuh perlahan hari demi hari akibat dibaja pekat dendam milik ratusan liar.

Tuesday, April 24, 2012

Hadam

Manusia ialah haiwan kelas atasan, yang gemar menolak tuhan dan tetapan.

Sembilan Puluh Satu

Suara hati harus dicatit dan disimpan peribadi, untuk rujukan di masa kecemasan.
Esok lusa kan akan tiba masa engkau dan aku akan melumpuh,
terbaring jauh di sekitar sana, atau mungkin tersepit dengan monolog gangsa
yang mula menghitam.
Dibukukan dengan kemas, biar tersusun dengan tarikhnya,
biar apa yang aku engkau rasa kekal di situ selamanya.
Mamalia manusia kan memang selalu mudah terlupa, kerana angkuhnya dengan mahkota.

Sembilan Puluh

Dunia ini luasnya bingung,
isinya padat dengan ketidakpastian.
Sekotak rasa untuk dihirup,
sehelai jiwa untuk dideklamasikan.
Manipulasikan aturannya,
catur-catur tetap akan berjalan sendiri.
Didendangkan kita dengan syair berontak dari lorong kemarahan,
terpijak dalam, terseungkur ke hadapan.
Digulung sesal-sesal saki baki lampau, parut-parut tak tersembuh,
luka-luka yang terusan mengoyak.
Bersyukur dengan apa yang tersedia, mereka kata.
Ungkapan yang bergerak balas dalam caranya yang sendiri.
Aliran ini arusnya menyonsang, meniup ke ke selatan,
sedikit hampir dengan bibir yang menunggu kesat.
Hujan terusan membasah, mencemar senyuman yang menumbuh,
Esok atau lusa, aku hajatkan syurga.

Saturday, April 21, 2012

Mekanikaliar

Berbaring di atas longgokan persoalan,
yang sehingga kini tak lagi tertuai.
Syurga atau neraka, dua-duanya perlu komitmen yang besar.
Runsing, lebih elok terus mabuk.