Sunday, November 27, 2011

Tuhan

Kepalanya terputus sekata, ketika mendongak ke Jupiter, daging-dagingnya tercicir di kaki-kaki lima. Yang tertinggal hanya perasaan yang enggan menurut tujunya roh ke belakangan bulan, menunggu-nunggu jika ada yang sudi mengutip, baki-baki.

Lalu aku yang bermomentumkan kepul-kepul awan, berjalan dengan manja ke tepi-tepi dia, perlahan-perlahan memungut cebis-cebis yang tak diendah sesiapapun, cebis-cebis yang sedang meraung oh kasihan.

Didekatkan telinga mencuba transmisi, kerana aku yakin ada mesejnya.

Dengan teresak perlahan menahan turunnya sisa-sisa nyawa, dia berbisik;

“jika tuhan itu tak wujud seorangan, di mana yang lain lagi pergi?”

“cuba beritahu aku, apa lagi yang lebih cantik dari turunnya cinta?”

“jika ianya datang dari bukan tuhan, tak mungkin dari sesiapa lagi kan?”

Limitasi

Limitasi yang engkau lengkapkan itu hanya seperti seorang polis untuk satu angkasa.

Tak menyudah merantai dan menggari, bak mengejar halilintar yang sedang tertarik ke bumi, menelan meditasi yang sudah membasi membusuk berdaki, ludahan semata-mata.

Radikalnya engkau berkata-kata dengan lantang, akan sebuah mitos yang memang tak pernah dicatit mana-mana tulisan, merangka sejarah yang hadapannya habuk tak mudah ditiupkan, meracun sendi akal yang menggerakkan perasaan, lalu menjatuhkan isi dan moralnya penulisan.

Gelapkan kota dengan formasi masa hadapan penuh kemalangan, meneriak perlahan menunggu beramai baru menyetan. Tak perlu terburu-buru, sekumpulan haiwan. Lapahlah perlahan-lahan, kunyahkan dengan senyuman, perang terus-terusan, lebarkan luka lebarkan hiba, roh kami tak akan mati, roh kami tak akan henti.

Thursday, November 24, 2011

Meteor

dia bagai meteor yang turunnya dari angkasa,
tetapi takdirnya untuk aku yang paling hina.
dan mungkin dia terseksa, gara-gara perasaannya yang kerap dilemas sehingga membuta, atau suara-suaranya tak diendah ketika inersia manusia paling berleluasa,
lalu dipilihnya curang yang harganya bagi dia amat terang.

sekali lagi,
dia ialah meteor yang turunnya dari angkasa,
cuma kali ini, rasanya sakit di laluan dada.
Akibat dihentam pergi,separuh nyawa.