Thursday, May 12, 2011

apa pernah engkau fikir?

lilitkan kain menutupi dua mata,
biarkan diam biarkan aku rasa,
biarkan sebegitu biarkan aku menghidunya,
biarkan terhalang biarkan aku tersungkur,
biarkan sahaja biarkan sahaja ikatannya.
melangkah perlahan-perlahan.
mendengar halus-halus.
merasa melalui kekurangan.
bergesel dengan tangis, berbual dengan resah,
menunggu dengan dekad, jatuh dengan beban keluhan,
bangun dengan gumpalan daya, melutut sehingga nokhtah tiba,
tak apa. tak apa.
biarkan aku rasa, baki-baki perasaan turunnya dari angkasa.

Wednesday, May 11, 2011

soalan-soalan untuk angin yang sememangnya melayang.

jika engkau pilih untuk menekan butang itu,
bergelaplah kita dalam kekeliruan yang sememangnya terlalu kecewa,
dan terusan hambar dengan fakta-fakta takdir yang globalnya rawak.
kan?
atau paling tidak, kita terus khayal dengan umum-umum yang mengikut-ikut
atas sebab-sebab pendirian yang menggoyah, dibuai angin-angin lintang yang mengguruh.
setuju?
sehingga larut malam, atau awal pagi,kemudian kita menyujud kesal, kononnya.
menangis olok, teriakkan penipuan kepada rakyat lapisan awan,
dan sehingga ombak besar kali kedua, sekali lagi kita hanyut dengan gelombangnya.
mungkin, inersia, seperti biasa yang dipekikkan pejuang-pejuang dosa.
betul kan?

jadi, bagaimana?
pilihlah dan sila heret aku.

Marikh

dan marikh terus berputar,
tak endahkan venus, juga hiraukan cakap pluto,
terus hadapan halanya orbit tak toleh-toleh.
kerana malam lalunya, mimpi-mimpi telah mengusiknya,
yang dalam seratus lima puluh tahun lagi,
datang takdirnya, perasaan cinta.
perasaan yang dongengnya mampu memalar sehingga dunia tak ada rupa,
perasaan yang senang walaupun meracun salur-salurnya.
perasaan yang abstrak, malah sains tak mampu jelaskannya.
sebab itu, marikh terus begitu selama seratus tahun.
marikh akan terus tunggu, terus tunggu, untuk tepat lima puluh tahun lagi.

dan lima puluh tahun lagi,
marikh akan teriak-teriak,
tetapi samar-samar.
mungkin bahagia, atau mungkin marikh menangis sedih,
gara-gara jodoh yang terlalu rahsia, absurd untuk kita membacanya.

Tuesday, May 10, 2011

waspada

dalam ruang cahaya berwarna,
ada perempuan mengemis dinoda,
bergesel manja, menggoda ngada,
menyelak biar ditonton alur-alur,
menunduk biarkan dikucup merata-rata.

dunia sedang menggila.
tetapi ingat, bukan di ruang ini sahaja.

Monday, May 9, 2011

Balerina - 2

aku lihat dia di balik-balik cahaya malam,
menari dengan angin, berbual dengan dingin,
di sana, bumbung yang sama seperti sebelumnya.
masih tak ubah, cuma mungkin rambutnya sedikit panjang dari yang dulu.
dan aku masih gagal untuk menghubung kamu,
ya, kamu memang mirip dia.
ruang-ruang ini terlalu konkrit untuk dimansuhkan,
dimensi vakum yang buat diri ini lutsinar dari kamu.
atau mungkin, engkau terlalu khayal dengan manja-manja milik malam.
aku ada bicara yang diangkuhkan perasaan rindu tetapi bukan kepada kamu,
ada ada bicara yang dilalaikan ketika dahulu nyawa masih milik juga bukan kamu,
aku ada bicara yang perlu aku agungkan tetapi ianya tetap bukan kamu,
balerina, benarkan aku lega dari sesal-sesal yang telah berdekad terantai.

aku tetap terus menunggu jodoh leraikan segala.