Saturday, April 21, 2012

Mekanikaliar

Berbaring di atas longgokan persoalan,
yang sehingga kini tak lagi tertuai.
Syurga atau neraka, dua-duanya perlu komitmen yang besar.
Runsing, lebih elok terus mabuk.

Sunday, November 27, 2011

Tuhan

Kepalanya terputus sekata, ketika mendongak ke Jupiter, daging-dagingnya tercicir di kaki-kaki lima. Yang tertinggal hanya perasaan yang enggan menurut tujunya roh ke belakangan bulan, menunggu-nunggu jika ada yang sudi mengutip, baki-baki.

Lalu aku yang bermomentumkan kepul-kepul awan, berjalan dengan manja ke tepi-tepi dia, perlahan-perlahan memungut cebis-cebis yang tak diendah sesiapapun, cebis-cebis yang sedang meraung oh kasihan.

Didekatkan telinga mencuba transmisi, kerana aku yakin ada mesejnya.

Dengan teresak perlahan menahan turunnya sisa-sisa nyawa, dia berbisik;

“jika tuhan itu tak wujud seorangan, di mana yang lain lagi pergi?”

“cuba beritahu aku, apa lagi yang lebih cantik dari turunnya cinta?”

“jika ianya datang dari bukan tuhan, tak mungkin dari sesiapa lagi kan?”

Limitasi

Limitasi yang engkau lengkapkan itu hanya seperti seorang polis untuk satu angkasa.

Tak menyudah merantai dan menggari, bak mengejar halilintar yang sedang tertarik ke bumi, menelan meditasi yang sudah membasi membusuk berdaki, ludahan semata-mata.

Radikalnya engkau berkata-kata dengan lantang, akan sebuah mitos yang memang tak pernah dicatit mana-mana tulisan, merangka sejarah yang hadapannya habuk tak mudah ditiupkan, meracun sendi akal yang menggerakkan perasaan, lalu menjatuhkan isi dan moralnya penulisan.

Gelapkan kota dengan formasi masa hadapan penuh kemalangan, meneriak perlahan menunggu beramai baru menyetan. Tak perlu terburu-buru, sekumpulan haiwan. Lapahlah perlahan-lahan, kunyahkan dengan senyuman, perang terus-terusan, lebarkan luka lebarkan hiba, roh kami tak akan mati, roh kami tak akan henti.

Thursday, November 24, 2011

Meteor

dia bagai meteor yang turunnya dari angkasa,
tetapi takdirnya untuk aku yang paling hina.
dan mungkin dia terseksa, gara-gara perasaannya yang kerap dilemas sehingga membuta, atau suara-suaranya tak diendah ketika inersia manusia paling berleluasa,
lalu dipilihnya curang yang harganya bagi dia amat terang.

sekali lagi,
dia ialah meteor yang turunnya dari angkasa,
cuma kali ini, rasanya sakit di laluan dada.
Akibat dihentam pergi,separuh nyawa.

Wednesday, September 7, 2011

Teori Cahaya

mari ke dalam jiwanya, yang selirat dengan urat-urat paksa,
dan sendi-sendi yang menghalang keputusan mindanya,
ini bukan teori radikal milik syurga seperti yang segala kapitalis siarkan
di peti gerakan kediaman, atau khayalan agama cinta yang buta-buta menolak tuhan.
jasad ini bukan milik kita ya, gumpalan perasaan yang memualkan organ penggerak manusia.
balerina yang terlalu kasihan, menari bersama angin malam yang masih milik sepuluh tahun yang lepas, masih hidup dan tinggal dengan memori yang kesulitan 10 tahun yang lepas.
hari sudah malam dan hujan masih lebat,
tidurlah dengan lena,
tanpa menggenggam surat-surat lama,
tanpa menonton longgokan tiket wayang yang pernah ditonton bersama.
tanpa monolog yang sia-sia,
moga sayap di belakangmu, akan gugur hari esoknya.
kita akan selamanya manusia, jadi catit dan terima.

Tuesday, September 6, 2011

kemungkinan yang selalunya absurd aku tuliskan keterangannya - 1

dalam ruang yang keberangkaliannya tinggi untuk aku pitam,
aku terlihat pari yang matanya terusan berlari-lari manja,
dan lenggok tubuhnya yang seakan merantai perasaan ini,
"seperti kita pernah bertemu di sana", baris itu yang terusan hati ini bisikkan.

jadi aku gerakkan roda ke sana, perlahan-lahan,
memuaskan kehendak hati yang degil untuk membiarkan takdir dalam aturan biasa seperti hari-hari yang normal,
dan jika ianya hanya paralaks yang sememangnya umum untuk manusia rabun,
aku tak akan pernah rugi apa-apa, kan?

sedang leka pari meneguk minumannya,
dari cawan yang cantiknya seolah-olah sebahagian dari aksesori jasadnya,
aku masih berdiri di belakangnya, menunggu untuk dia berpaling dan bertentang mata.

lampu serakan sejuta warna, dan kepul asap yang melemaskan,
pari tetap tak menoleh. aku masih kaku di sana.

dia mungkin dari silam yang memang aku tak mahu berulang,
atau, mungkin berkaitan dengan si dia dari silam yang memang aku tak mahu berulang,
atau, mungkin aku yang iras-iras dengan silamnya yang memang dia tak mahu berulang.
ahh, ketidakstabilan kondusiku buat di ketika ini lebih merumitkan komposisi hati.

Monday, September 5, 2011

memo

akan kembali menulis nota-nota cinta.