Friday, December 14, 2012

Dilari

Longgokan buku yang masih belum dibaca, mesejnya ada, cuma perlu digodam sehingga keluar,
kerana moralnya terlalu mahal untuk dilacurkan sia-sia. Diselak-selak, nampaknya ghairah, untuk jiwa yang sentiasa kehilangan dilarikan. Sedang, mencari idea yang nalurinya kompleks untuk dibogelkan, ruang ini semakin sempit. Hilang secara tiba-tiba, diculik dan  dibawa pergi, pulangnya? entah bila. Mungkin ini komplikasi tahap atasan, di mana semuanya nampak rumit, dan meluah itu dilarang, jadi kita pilih untuk mendiam dan berhenti berprogres, walupun itu mungkin yang terbaik daripada kita, hilang hala dan mengalah di titik-titik mula. Lemparkan senyum di kaki-kaki lima habitat manusia yang terasing, tumpahkan nangis di awan-awan gula yang masih tercatat, bila cukup masa, larikan sejauh angkasa, pitamlah di mana-mana, soalnya kita semua masih sama, tetap hilang tempat bermula, keliru tentang plot dan tamatnya. Jadi aku rangkakan peta jiwa, yang lengkap dengan catatan rasa, serta jalan-jalan yang tujunya buta. Ganjil tetap ganjil, keluarnya tetap unik dan luar pertimbangan, manusia yang gagal. Tak mengapa, akan terus aku catatkan setiap luar nikah yang termuntah. Untuk dikaji geraknya tuhan, memang mustahil walaupun dengan segumpal ekstasi yang akan dibenihkan, putusnya di situ sahaja, rahsia. Sains dan tuhan, cukup cantik tanpa cela. Pilih sahaja untuk teruskan, dan rasa apa yang dibenarkan rasa. Diam dan kekalkan nadinya, di atas nyawa yang sedang dipinjamkan mereka dan mereka.

No comments: