Wednesday, July 25, 2012

Mineral

mandolin usang, masih tidur nyenyak di penjuru sana.
tinggallah aku dengan memoir-memoir lama, bercumbu manja,
perlahan-lahan meracun jasad yang sememangnya mudah pecah.
seperti malam-malam yang begini, ada sahaja untuk diluah,
tentang rasa yang melemas mati, tentang hati yang diludah berkali-kali.
nyawa-nyawa ikan lagi, depresi yang tak berperikemanusian.
mencari-cari antidote, manalah tahu, masih ada saki baki,
dari karam-karam yang lepas. selalunya mengalah, penat bertolak ansur,
kerana ekstasi lebih ramah menonjol diri, kuda jinak yang memangnya murah.
dari sfera, hingga tak bersudut, dari berat, hingga tak berjisim.
berdimensi hilang pendiriannya.
kesannya nakal tetap dengki, ia masih mogok di situ.
berdegil dan berkeras diri, isunya masih rancak mengguruh.
rencahnya mudah, cinta dan binatang dari neraka, mereka dan sumbang sumbingnya.
renjatan demi renjatan, aku konduktor paling malang.
ditikam sedikit sini dan sana, dipanah ramai lukanya kabur, rasanya nyata.
memang pahit seperti semua pernah kata.
helaian demi helaian, diselak dan dibaca, diperhati dengan diskrit.
mencari tulen, atau mungkin yang mirip neutral.
akal menyelinap masuk, dengan marah menghalau pergi, daki benci baki dendam.

"selamat malam halilintar."
seperti mana yang dia selalu akan bisikkan.
lekaslah padam, esok esok sambung lagi.


Tuesday, July 24, 2012

Semoga cepat sembuh angkasa

awan meradang, menumpahkan kilat-kilat silau,
dan titis-titis hiba untuk santapan manusia keramaian,
satu bintang, dua bulan, dan tiga matahari.
bersiul tentang payah yang digendong,
meminta-minta kasihan di mana tak ada siapa pun endahkan.
dukanya, tangisnya dan rayunya untuk angkasa.
kalaulah boleh, digadai jasadnya, atau pindahkan ke dalam dia,
sudah tentu, sudah lama dia serahkan,
segala mampu yang dia pernah ada.
malangnya bumi ini ada tujuh puluh juta teori yang kita bertuhankan.
yang absurd, tetap absurd untuk dijanakan.
lalu timbunan doa dia lontarkan, ke langit di ketika semua warna,
pada setiapnya ruang yang dia jumpa, pada setiap manusia yang dia kenal.

selalu dia bisikkan, yang harapan itu sentiasa akan ada.
bila engkau percaya titik demi titik, koma demi koma,
hanyalah perintang sementara, yang hanya 'berjenaka',
kan jelas kitarannya, untuk aku engkau dan kita.

semoga cepat sembuh angkasa,
hentikan tangis dia seperti biasa engkau lakukan dengan senyuman engkau yang paling ringkas,
bangunlah. bukalah matamu, capailah, genggamlah tangan dia,
gerakkan bibirmu, perihalkan dia,
tentang engkau yang hanya terluka kecil dan akan terus bernyawa.
moga-moga.

Friday, June 15, 2012

Markisa

Aku sedang menulis dengan emosi separuh masak, ragu-ragu dan rumit. Monolognya ada sembilan, karutnya entah berapa, buat rohnya tunggal keliru. Ditenung langit dengan pewarna, atasnya ada bintang bersalut mentega, bulan yang entah digigit siapa, malam ini transmisinya ganjil. Perhatian dicuri dan dibaling-baling pergi, sekejap dia sekejap lagi dia yang satu lagi, lalu aku kejar untuk dapatkan kembali. Aku seperti kanak-kanak yang dibuli. Litar ini, rintangannya seni. Terlalu lancar gagal untuk cuba berhenti. Tangan dihentak, menekan-nekan deretan huruf yang yatim. Siapa-siapa, boleh tolong matikan suisnya. Jenerator juga perlukan rehatnya, tak cukup angkuh untuk terima, yang manusia cume berjasad plastik kitar semula. Barisan limitasinya terlalu panjang ke belakang, cuma aku dan engkau yang terlalu angkuh untuk mengaku, begitulah binatang jika dikurniakan ego. Pejam celik pejam celik, puluhan tahun sudah berjalan, tetapi tak ada satupun yang kita mampu selesaikan. Sama ada ketuhanan, kemanusiaan, atau hukum-hukum fizik yang bertimbun di perpustakaan, semua kita, hanya cukup-cukup makan. Imaginasi yang dulunya berlegar ramai, kini melenyap satu per satu, dua, tiga dan semuanya. Cita-cita yang tertinggal, sepertinya mainan di usia kita muda, yang dulu kita peluk ke mana sahaja. Merapuh, lalu terbuang seperti tak ada jasa. Bumi ini, habitat mereka yang yang tercemar, walaupun bukan semua, itu semestinya, cuba kita bilang sama-sama dan kita koordinasikan dua negara untuk mereka. Ya, begitu. Lihat? Ramai bukan bilangannya, ramai kan rakyatnya, tercemar. Seperti darwin dan kata-katanya, samalah pemimpin dan manifestonya. Politik dunia, rancak berkata-kata, aku lebih gemar judulnya jika tentang manusia yang lahirnya berjiwa, bukan robot yang terjana wang dan kuasa. Gubalkan masa hadapan yang bersaiz besar, kerana nyawa tak lama mana. Tak lama mana untuk kita taburkan merata-rata. Awan gelap semakin menghampir, dalamnya ada mani segala hiba. Ditepis sana sini, obsesinya masih sama, dosa dan dosa. Menabung untuk diseksa. Dimuntah syurga, diperkosa neraka. Diam. Masa mencemburui kita, bila ditunggu, makin perlahan geraknya. Cahaya dalam perjalanan, untuk selamatkan jiwa dari disedut lubang hitam, kecemasan kecemasan, aku gentar untuk sesat, walaupun hanya untuk milisaat lagi. Lekaslah laju lagi, cepat sampai dan jangan pulang. Jiwa perlu baja, untuk berdegup seribu tahun lagi. Akal kemudia dibawa pergi, destinasinya masih kabur tak ada diskripsi. Diformat berkali-kali, tah mahu berhenti. Berbulan madu di pluto, kan seronok tak ada siapa yang mengganggu. Sebernarnya aku tagihkan fasa yang begini. Lagi dan lagi, jawapannya menyorok terlalu sukar, dikorek dipujuk tetap berdegil untuk tonjolkan diri. Wadkan dia bersebelahan aku, biar dirawat bersama-sama, di bawah graviti rata dan saksama. Biar aku ada peluang berbicara. Tak apa aku akan terus cuba.

Sunday, May 13, 2012

Lampu Merah Yang Radangnya Menerang

Demi angka,
mereka berpusu-pusu ke sana.
Untuk agihkan dosanya,
dengan peratusan sama rata.
Hadiah dari barat,
untuk perdagangan pencemaran secara percuma dan sempurna.
Dihalalkan mereka radiasi berbahaya,
menyuburkan benih barah yang akan merantai nyawa.
Ideologinya sudah berpincang seratus kiblat.
Akalnya karat menebal,
yang terjaga, semuanya teriak derita.
Bijaksana yang tersonsang,
diheret modenisasi berharga rendah.
Suap sikit, meludah itu boleh.
Suap sedikit lagi, dinobatkan pula tuhan dengan tempoh masa.
Jadilah kami bangsanya rakyat, hamba yang bertuan dua.
Pastinya murka yang berpanjangan.
Tiga per tiga,
subahat dan sindiketnya,
adalah radikal lacuran semata-mata.

Monday, May 7, 2012

Inti.

Dan setiap nyawa yang terturun,
sama ada dari atas atau terasnya,
disuntikkan benih jiwa.
Disenyawakan oleh dunia,
jinaknya atau liarnya semuanya bergantung.

Angkasawan

Angkasawan, padam, dan terhempas.
Gara-gara terpikat dengan bulan,
hilang akal dan lalai,
terlupa tentang buminya.

Pitam.

Selari.

Jiwa ini menumbuh perlahan hari demi hari akibat dibaja pekat dendam milik ratusan liar.