Saturday, January 17, 2015

Tiga

Ruang ini selayaknya tiada siapa yang mampu tembus,
Kerana disini hanya ada aku,
Dan ratusan juta memo yang terlalu peribadi,
Tentang diri, manusia dan nilai satu nyawa. 

Mahupun rasa atau pandangan,
Baik yang lurus atau kecilan bengkok,
Dan hasil-hasil cerna yang mungkin separuh daripadanya separa belum dihadam,
Semua tentang aku boleh kau hirup disini. 

Dan bila kau hembus dan lepas,
Apa kau rasa nikotin cinta? Atau hanya tar yang membusuk penuh dendam dan marah?
Aku adalah aku, dan kamu pemutusnya. 

Apa perlu kau simpan,
Atau buang segala ke atlanta,
Dan mula ceroboh sangkar yang baru. 

Aku pilih untuk kekal dan terima.
Kerana pahit itu hanya setitik nisbahnya.
Dan ya, terpulang.

Dua

Suhu tak lagi selesa,
Sejuk membeku segala rasa,
Masa seakan berhenti,
Membenci secara terperinci.

Pesta terusan membisu,
Sendiri dan lagi sendiri,
Hilang konsentrasi,
Monolog penuh bermacam emosi.

Bingung dengan pergerakan,
Bersegi yang mengelirukan,
Terliur dengan khayalan,
Segala idaman dipaksa berjauhan. 

Berlari dalam bulatan,
Aku, sesat dalam pemikiran,
Mencari pencuri,
Yang memikat hati. 

Satu

Kau adalah candu,
Perisa karamel berkrim vanila,
Asap dan khayalku,
Setiapnya, kamu.

Mata terpejam putih,
Vakum dan lutsinar, 
Lintasan demi lintasan,
Setiapnya, mirip kamu.

Bunyi bunyian,
Membunuh pendengaran,
Mengkaburkan penjelasan,
Setiapnya, mungkin kamu.

Padam, gelita.
Sesat, buntu.
Hanyut, melayang.
Hilang, kamu.

Friday, May 9, 2014

365

Muka pertama, 
terbiar tiada apa-apa, 
terdiam kaku seolah hilang semua, 
catitan minda yang seleraknya kompleks maka susah dibaca,
kabur seolah rabun kuasa lima,
terus-terusan begitu sehinggalah muka yang ke-sejuta.

Setelah sekian lama memendam rasa, 
terdetik aku ke sini semula, 
diam dan membaca,
catitan-catitan lampau sewaktu perang dunia pertama. 

Separuh jiwa di haluan yang sama masih membasi buta,
kiblatnya berganjak tidak berpola sekata,
separuh lagi sudah lesap entah ke mana pegangan yang lama. 
Perspektif kini, kewarasannya lebih meliar, dipukau seluruh teori campakan manusia,
Lingkungannya lebih besar, berkadar terus dengan nyawa yang semakin dekat,
tarikh luputnya.

Mungkin masa buat kita lebih dewasa, 
Mungkin ketawa buat kita mudah lupa, 
Mungkin sedih buat kita terus hidup, 
Mungkin semuanya sudah dirancang mula hujungnya.

Perlahan-lahan aku mula tersedar, 
cahaya terang menusuk mata,
lalu segera aku berselubung, dalam gelap lindungan bayang-bayang, 
jelas masa mencemburui kita, setiap inci dan dan fasa, 
esok atau lusa, pasti aku akan kemari,
mengisi diari, untuk diri di hadapan nanti. 

Selamat malam, bintang terang.






 


Tuesday, March 12, 2013

Idola.

karyanya peta buat hati-hati yang pasif akibat lemas di riba cinta.
suaranya tegas melantang memukau roh-roh yang bebas sementara.
bijaknya terang memaksa akal kembali bekerja selari hingga ke malam.
tulisannya bernyawa berkata-kata, menari dengan cantiknya.
bayang-bayangnya besar menutup gelap bermalamlah cita-cita.
sama ada tentang gajah atau rusa, guruh atau luruh, telitinya hebat mesejnya di dada langit.
abstraknya rahsia untuk dicerna, jawapannya ada bila bersemuka.
mula hingga akhirnya, engkau cukup cantik.
harapnya cuma satu, engkau terus begitu, engkau terus begitu.

kerana manusia akan selalu kehilangan satu demi satu kehendaknya, nafsunya.

Friday, January 11, 2013

Siang yang paling terang sebenarnya adalah malam yang paling gelap.

Siang yang paling terang sebenarnya adalah malam yang paling gelap.
Itulah derhaka yang tersorok sejauh tujuh ratus tahun cahaya jauhnya.
Dilipat kemas, agar bucu-bucunya tidak jelas, agar tidak jejas perca-perca percaya yang tertinggal.
Dan bila roh mula kembali ke jasad yang ada, kita mula hilang keseimbangan, dalam lopak pegangan.
Abjad dan angka semakin mengelirukan, mula-mula untuk tuhan, sekarang sudah tidak bertuan.
Lacurkan segera, apa yang tersedia ada, biar menumpu fakta-faktanya.
Kerana di sebalik malam yang paling gelap, ada cinta yang tak akan luput tarikhnya.

Jadi, segera acukan senjata, sedia dan terima.

Wednesday, January 9, 2013

Manusia dan jawapan.

jika perlu dibentangkan langit dan angkasa,
dirobek isi-isinya keluar, ditanggal bintang dan bulannya,
dilerai simpul-simpulnya, dibogel teras dan pusatnya,
walaupun perlu untuk lemas dalam lubang hitam yang sambungnya ke mana,
walaupun perlu bernyawa seterusnya dengan barah-barah senja,
walaupun sukar, walaupun lama mana,

kerana kita memang begitu.
manusia dan jawapan.