Tuesday, February 22, 2011

keretapi tanah melayu

antara dua gerabak,
menonton pemandangan yang tertarik halaju,
didendangkan lagi orkestra geseran dua benda,
dan hujah tentang demokrasi yang memualkan,
perpaduan yang dicegah mereka di atasan, ah,
menjelikkan.

"senja-senja begini aku memang terlalu lemah untuk hidup,
senja-senja begini aku memang terlalu tak bertolak ansur untuk apa-apa,
senja-senja begini aku memang terlalu meradang semua hala,"

maaf ya, tak sengaja,
nyawa, sudah tertinggal seribu kilometer ke belakang.
kau faham bukan?

kalaulah memang

kalaulah memang,
hati ini wujudnya dari semesta,
yang terbuang kemudian diguna semula.

kalaulah memang,
hati ini datangnya dengan pakej gembira,
tiada memori tentang sedih dan kecewa.

kalaulah memang,
hati ini materialnya kalis luka,
tak boleh ditembus walau sehalus mana ia.

kalaulah memang,
hati engkau terus setia secara lurus.
hati aku, tak akan sedikit pun apa-apa.

Monday, February 21, 2011

ini sedikit lebih dalam.

mendung yang merundum,
meliar dengan rela, menguntum bagai sakit,
ya,menghitung hari-hari yang masih jauh.
kebebasan ini barah buat hati yang terantai.
bagai busur yang memanah tak pernah henti,
berkali-kali sakit, tak lelah mati.
ruang ini makin menyempit, melumpuhkan jasad-jasad,
sendi-sendi yang lipatnya kaku.
dan ribut ini, terus ditiup dari corong dada,
hingga purnama berikutnya tiba,
hingga mata bertentang mata.

Saturday, January 22, 2011

Jika.

pari,
jika esok engkau harus pergi,
ditarik takdir,dibeban tugasan,
bagaimana dengan aku?

pari,
jika esok engkau tak turun lagi,
dicurang para, disingkir setia,
bagaimana dengan aku?

pari,
jika esok engkau dipanah mati,
dihukum tuhan, dimamah syaitan,
bagaimana dengan aku?

pari,
jujurnya aku gentar
untuk terlalu tenggelam dalam perasaan sendiri,
dalam ruang tengah dada ini.
kerana di ketika itu, aku seolah sepi,
memalap dan terus mati,
menunggu jawapan terus dari tuhan, menerusi luncuran masa.

ya, aku sedang di fasa pegun, kekal pegun.

Friday, December 17, 2010

nota layang keempat

kita terlalu mudah menulis dengan marah,
sehingga kadang-kadang kita terlupa,
betapa cantiknya cinta.

Thursday, December 9, 2010

sudah menebal nota di hati, tetapi sentiasa gagal menulis kerana suntuknya masa.

mual dengan gerakan masa kebiasaan hari-hari,
ia seperti mekanisme manusia di angkasa, perlahan.
dan gerak balas aku, ialah sibukkan seluruh diri,
dengan beban-beban yang tak pernah letih merantai kaki,
dengan hidangkan telinga pada teriakkan segala bangsa,
dengan kepura-puraan yang patuh pada arahan,
dengan benci yang semakin menebal di tabung jiwa,
menentang setiap ideologi kapitalis, layanan seekor-ekor rasis,
dan pejuang-pejuang individualis yang paling pentingkan diri!
ah, muak, hingga mahu muntah darah likat!

jadi kita manusia akan bazirkan kira-kira 50 tahun mengejar dunia dan isi perutnya?
ke mana agaknya akan terpelanting tuhan, dan rasa hendak hati?
dan sebab aku bertanya, kerana spesis kita memang tak akan hidup lama.
diam, jangan bantah, itu fakta.

Saturday, December 4, 2010

kita yang semakin hilang unsur manusia.

dendam yang engkau benihkan tak lama dahulu,
sekarang sedang mengesot ke seluruhan jasad,
dan mungkin esok atau lusa, engkau sepenuhnya gagal untuk waras,
kerana haluan itu, haluan yang sedikit dekat ke neraka.